Assalaimulaikum..
Maaf Kang Abik, Amal jatuh cinta lagi.. Alhamdulilah kali ini Amal jatuh cinta akan karya Hamka pula iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah. Walaupun tidak berpeluang lagi untuk membaca apatah lagi menghadam serta membedah karya Hamka tetapi menurut seorang junior Amal karya Hamka ini Insya-Allah akan membuka pandangan serta pemikiran. Masih menggunakan tema cinta 2 darjat, tetapi diolah dengan jayanya oleh Hamka.( Malahan dengan membaca synopsis pun sudah dapat merasakan keterujaan untuk membaca karya Hamka)
Berikut merupakan ayat-ayat emas dari mata pena Hamka daripada karyanya iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah;
“Akan saya pikul rahsia itu jika engkau percaya padaku, setelah itu saya kunci pintunya erat-erat, kunci itu akan saya lemparkan jauh-jauh, sehingga seorang pun tak dapat mengambilnya ke dalam hatiku lagi.”
“… di mana jua pun di atas dunia ini, asal ditempati oleh manusia, kita akan bertemu dengan yang tinggi dan yang rendah, kita akan bertemu dengan kekayaan dan kemiskinan, kesukaan dan kedukaan, tertawa dan ratap tangis.”
“Cinta itu adalah jiwa; antara cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan, cinta pun merdeka sebagaimana hamba. Ia tidak memperbezakan di antara darjat dan bangsa, di antara kaya dan miskin, mulia dan papa.”
“Takut akan kena cinta, itulah dua sifat dari cinta; cinta itulah yang telah merupakan dirinya menjadi suatu ketakutan, cinta itu kerap kali berupa putus harapan, takut cemburu, hiba hati dan kadang-kadang berani.”
“… cinta itu kadang-kadang hanya menurutkan perintah hati, bukan menurutkan pendapat otak.”
“… cinta itu ‘adil’ sifatnya, Allah telah mentakdirkan dia dalam keadilan, tidak memperbeza-beza di antara raja-raja dengan orang minta-minta, tiada menyisihkan orang kaya dengan orang miskin, orang hina dengan orang mulia, bahkan kadang-kadang tiada juga berbeza baginya antara bangsa dengan bangsa.”
“Kerana cinta yang dibalas itulah ubat yang paling mujarab bagi seorang anak muda dalam hidupnya, takkan lebih pintanya daripada itu.”
“Dua kejadian yang hebat telah membayang dalam kehidupan saya sehari itu, tak ubahnya dengan seorang yang bermimpi mendapat sebutir mutiara di tepi lautan besar, sebelum mutiara itu dapat dibawa pulang, tiba-tiba sudah tersedar; meskipun mata dipaksa tidur kembali, yang tadi telah tinggal mimpi, ia telah tamat sehingga itu, tidak ada sambungannya lagi.”
“… nikmat hati hanya lalu sebagai khayalan belaka. Setelah melayap laksana satu bayangan, ia pun hilang dan tidak akan kembali lagi.”
“Tidaklah adil jika semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan mengangiskan mesti ada pula. Kita mesti mengukur perjalanan alam dengan ukuran yang luas, bukan dengan nasib sendiri.”
“Memang, mula-mula hati itu mesti bergoncang; bukankah lonceng-lonceng di rumah juga berbunyi keras dan berdengung jika kena pukul? Tetapi akhirnya, dari sedikit ke sedikit, dengung itu akan berhenti jua.”
“… air mata tiadalah ia memilih tempat untuk jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun. Air mata adalah kepunyaan yang berserikat, dipunyai oleh orang melarat yang tinggal di dangau-dangau yang buruk, oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni gedung-gedung yang permai dan istana-istana yang indah.”
“Maka di antara awan yang gelap-gelita dan angin badai yang berhembus semenjak pertengahan malam, tiba-tiba cahaya fajar pun naiklah. Itulah fajar kenang-kenangan dan pengharapan, daripada cinta dan rindu dendam.”
“… cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lain menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah seorang dan lain-lain perangai yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi, dan lain-lain perangan yang terpuji.”
“Hati orang yang bercinta mempunyai mata, ia dapat melihat barang yang tak dilihat oleh orang lain.”
“… sukacita ada juga dijadikan Tuhan di dalam dunia fana ini.”
“Untung bahagia sejati ialah jika tahu, bahawa kita bukan hidup terbuang di dalam dunia, tetapi ada orang yang mencintai kita.”
“Sekarang barulah saya tahu bahawa diri saya ada harganya buat hidup, sebab ada orang yang mencintai saya, iaitu orang yang saya cintai!”
“Belumlah besar kegembiraan seorang budak jika ia diajak tersenyum oleh penghulunya; belumlah besar sukacita seorang pelayan istana jika ia dianugerahi sebentuk cincin oleh rajanya. Surat tanda cinta dari seorang perempuan, perempuan yang mula-mula dikenal dalam kehidupan seorang muda, adalah lebih berharga daripada senyuman seorang penghulu kepada budaknya, lebih mulia daripada sebentuk cincin yang dianugerahkan raja kepada pelayannya. Satu hati lebih mahal daripada senyuman, satu jiwa lebih berharga daripada sebentuk cincin.”
p/s: Kang Abik adalah nama pena Habiburrahman El Shairazy. Ucapan maaf yang ditulis kerana sebulan yang telah berlalu, karya Bumi Cinta daripada Kang Abik masih belum “dikhatam” apatah lagi untuk menghadam nilai-nilai yang dikemukakan oleh tuan penulis hebat ini.Tetapi sekarang ini hati telah terpaut dengan karya Hamka pula. Malahan begitu tertarik untuk mencari novel Retak dan membaca himpunan karya A.Samad Said dalam Antologi Edisi Pagi. Aduhh parah ini, maka minggu hadapan mungkin akan “menjelajah” kedai-kedai buku sekitar Kuala Terengganu demi mencari buku-buku tersebut.
p/s2: Kagum dengan para penulis terutamanya para sasterawan kerana mereka telah dapat "menggambar masa hadapan" melalui karya mereka. Lihatlah karya Naquib Mahfouz menerusi novelnya Lorong Midaq yang menceritakan kepincangan masyarakat Islam di Mesir. Kekaguman Amal kerana karya telah dihasilkan berpuluh-puluh tahun lalu telah mendedahkan kepincangan masyarakat Islam yang berlaku hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan